Monday, January 2, 2012

Perhiasan Dunia

Membaca ayat suci dibawah mengingatkan aku tentang cabaran hawa nafsu yang wajar kita tundukan dan bukan memimpin kita dalam mencari keredhaan Yang Maha Berkuasa...






Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,  iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak, kuda peliharaan yang terpilih lagi terlatih, binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup didunia dan (ingatlah), pada sisi ALlah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).
[Q.S 3 : 14]




Lihat tafsir ayat suci diatas berdasarkan Tafsir Al-Munir oleh Dr Wahbah Al-Zuhaily  -


Manusia dijadikan dengan sifat menyukai syahwat dan ia menjadi hiasan indah dimata dan dihati mereka. Kesukaan terhadapnya adalah fitrah dalam diri mereka. Sesiapa yang menyukai sesuatu tanpa sebarang perhiasan padanya, dicurigai ia akan ditinggalkan pada suatu hari.  Sesiapa yang menyukai sesuatu dengan perhiasannya, tidak mungkin ia berpaling daripadanya. Al-Quran mengungkapkan tentang sesuatu keinginan sebagai syahwat (keinginan hawa nafsu). Ia adalah kenyataan keterlaluan (mubalaghah) menunjukan kepada sesuatu yang sangat dicintai dan disukai. Ia juga menunjukkan bahawa syahwat adalah dicela, justeru manusia perlu menyukainya secara sederhana.  Manusia  hendaklah mengawal naluri dan tidak dipengaruhi oleh hawa nafsu secara membabi buta dengan sifat cintakan dunia.  Manusia tidak sepatutnya tersirna dengan kekuasaan yang sementara dan harta yang akan binasa sehingga menolak kebenaran dan tidak beriman dengan agama yang benar. Sdangkan mereka sudah mengenalinya sebagaimana mengenali anak mereka sendiri. Ini sebagaimana perlakuan utusan Nasrani daripada Najran dan selain mereka dari kalangan pemimpin kuffar.


Siapakah yang membuatkan syahwat menjadi sebagai perhiasan? Ada pendapat yang mengatakan; yang menghiasnya ialah ALlah s.w.t untuk menguji dan menduga manusia. Ini bererti ALlah s.w.t membentuk fitrah manusia menyukai syahwat.  Firman ALlah s.w.t (bermaksud) :


"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada dimuka bumi sebagai perhiasan  baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya"   (Surah Al-Kahfi 18:7)


ALlah s.w.t juga berfirman (bermaksud) :


"Demikianlah Kami memperelokkan (menghias) pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka" (Surah Al-An'am 6:108)


Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa syaitanlah yang menghias syahwat dengan bisikan dan memperindahkan kecenderungan kepada syahwat bagi menyesatkan manusia, sebagaimana firman ALlah s.w.t (bermaksud)  :


"Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan)" ( Al-Anfal 8:48)


Bagaimanapun, Islam mencakupi perkara agama dan duniawi. Ayat berkenaan bukan bermaksud menegah kesukaan yang sederhana terhadap syahwat. Bagaimanapun, yang  ditegah adalah kesukaan yang keterlaluan dan berlebihan terhadap syahwat serta cenderung dengan perlakuan terbabit sehingga melanggar benteng akidah dan agama, disamping bersikap alpa terhadap akhirat.  Ini sebagaimana firman Allah s.w.t (bermaksud) :


"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan ALlah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" (Al-A'raf 7:32)


Selanjutnya ALlah s.w.t menyebut enam  jenis syahwat dan kelazatan iaitu :


1. Perempuan
2. Anak-pinak
3. Harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak
4. Kuda peliharaan yang terpilih lagi terlatih
5. Binatang-binatang ternak
6. Kebun-kebun tanam-tanaman




Pedoman Hidup dan Hukum-Hakam


Terdapat golongan yang dipalingkan oleh hawa nafsu dan syawat daripada mengikut ajaran Islam seperti Yahudi dan lain-lain yang sezaman dengan Muhammad s.a.w. Lantaran itu, ayat diatas mencela mereka. Sekiranya seseorang insan ingin selamat daripada perhitungan ALlah s.w.t pada hari kiamat, ia haruslah mengelakkan diri daripada cengkaman hawa nafsu dan syahwat yang dilarang. Ini kerana membiarkan diri dipengaruhi syahwat menyebabkan seseorang terjerumus kedalam neraka dan kebinasaan.
Diriwayatkan didalam Sahih Muslim daripada Anas :


(maksudnya) : "Syurga dibentang dengan  perkara tidak disukai, (manakala) neraka dibentang dengan syahwat"


Syurga tidak dapat dicapai melainkan dengan menghadapi perkara-perkara yang tidak disukai manusia dan bersabar menanggungnya. manusia tidak terselamat daripada neraka, melainkan dengan meninggalkan syahwat terlarang dan dapat menahan kemahuan nafsu.


Syahwat yang disebut didalam ayat berkenaan ialah yang melampaui batasan atau berlebihan atau yang menyebabkan berlaku pengabaian kewajipan agama. Jika ianya dalam lingkungan  kesederhanaan yang wajar dan munasabah, ia tidak mengundang kecelakaan. Malahan jika tujuannya untuk kebaikan, ia menjadi sebab mendapat pahala dan menambah ganjaran, pemeliharaan diri, dan memperolehi keredhaan ALlah s.w.t.


Menurut para ulama, ALlah s.w.t menyebut empat jenis harta (aset).  Setiap satu jenis digunakan oleh golongan tertentu : emas dan perak menjadi aset ahli perniagaan. Kuda periharaan yang terpilih lagi  terlatih menjadi aset raja-raja.  Binatang ternakan menjadi aset orang-orang yang tinggal digurun atau perlembahan. Manakala kebun tanaman  pula aset bagi penduduk kampung.




Firman ALlah s.w.t (bermaksud):


"Semuanya itu ialah kesenangan hidup didunia" (Ali 'Imran 3:14) ; yakni kemewahan hidup didunia, kemudian ia musnah. Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dituntut supaya berzuhud dan memandang remeh terhadap dunia ; di samping mengambil berat terhadap akhirat.  Ibn Majah dan selainnya meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (maksud):


"Hanya sanya dunia adalah benda kesenangan, tiada suatu benda kesenangan dunia yang lebih baik daripada wanita solehah"




Thabit didalam hadis sahih (maksudnya):


"Berzuhudlah didunia, nescaya ALlah akan menyintai kamu"


Maksud hadis diatas ialah berpantanglah dari kesenangan dunia seperti kemegahan dan harta yang melebih kadar keperluan. Imam al-Tirmizi mengemukakan riwayat daripada al-Miqdam bin Ma'dikariba bahawa Rasulullah s.s.w bersabda (maksudnya):


"Anak Adam tidak memiliki hak melainkan pada perkara-perkara berikut: Rumah yang didiami, pakaian yang menutup auratnya, potongan roti dan air".


Firman ALlah s.w.t (bermaksud) : "Pada sisi ALlah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)." (Ali "Imran 3 :14) ; menunjukkan bahawa habuan dunia perlu dikurangkan dan dipandang remeh, di samping memberi penumpuan kepada tempat kembali disisi ALlah s.w.t iaitu akhirat.




























No comments:

Post a Comment