Saturday, January 7, 2012

Mati Adalah Perkara Besar

Kematian adalah perkara yang menggemparkan, perkara besar dan dahsyat, bukannya perkara kecil dan remeh. Ia menyebabkan langit dan bumi turut menangis, bukan sahaja manusia yang menangis seperti yang kita nampak, bukan!

Firman ALlah s.w.t :


"Maka tidaklah langit dan bumi menangisi mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi"  (Surah Ad-Dukhan: 29)

Tafsirnya mengikut buku - Jambatan ke Akhirat , yang ditulis oleh Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Mufti Brunei Darussalam).



 Ayat ini menjelaskan, bahawa kematian Firaun dan pengikut-pengikutnya atau sesiapa juga daripada kaum musyrik yang tidak beriman, langit dan bumi tidaklah menangisi mereka. Tetapi bagaimana dengan orang Mukmin?

Telah mengeluarkan Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas Radhiallahu 'anhuma, bahawa beliau telah ditanya tentang firman ALlah Ta'ala : 
Adakah langit dan bumi menangisi seseorang? Jawab Ibnu Abbas :
"Ya! Tiada seorang dari hamba ALlah, melainkan baginya ada pintu dilangit, yang turun rezekinya daripadanya dan naik amalannya kepadanya. Apabila meninggal dunia seseorang yang beriman, maka ditutuplah pintu tempat naik amalannya dan tempat turun rezekinya. Lalu menangislah ia (langit) keatasnya. (Begitu juga) bilamana (merasa) kehilangan tempat sembahyangnya dibumi, yang dia pernah mendirikan sembahyang padanya dan berzikir mengingati ALlah padanya, maka menangislah tempat itu. Adapun kaum Firaun, tidak terdapat sebarang  "kesan baik" dibumi, oleh itu tidaklah  tidaklah naik kehadrat ALlah daripada mereka satu kebajikanpun, lalu langit dan bumi tidaklah menangisi mereka" [1]



Mengeluarkan pula at-Tirmidzi, Abu Nu'aim, Abu Ya'la, Ibnu Abi ad-Dunya dan Ibnu  Abi ad-Dunya dan Ibnu Abi Hatim, daripada Anas bahawa Nabi s.w.t bersabda ;
maksudnya " Tiada seorang dari manusia, melainkan baginya terdapat dua buah pintu dilangit : sebuah tempat amalannya naik dan sebuah lagi tempat rezekinya turun. Apabila telah meninggal dunia seorang hamba yang beriman, maka menangislah kedua-dua pintu itu"  [2]

Mengeluarkan Sa'id bin Mansur dan Abu Nu'aim daripada Mujahid, katanya, yang bermaksud : "Tidak meninggal dunia seorang yang beriman, melainkan menangislah bumi keatasnya empat puluh pagi" [3]

Mengeluarkan Ibnu Abi ad-Dunya, daripada Abu "Ubaid, katanya yang bermaksud : "Sesungguhnya apabila mati seorang hamba yang beriman, berteriaklah bumi!" Maka menangislah bumi dan langit keatasnya. Lalu berfirman Tuhan Yang Maha Pemurah kepada bumi dan langit: "Apakah yang menyebabkan kamu menangis?"  Menjawab keduanya: "Tuhan kami! Tidaklah berjalan (hamba ini) pada mana-mana jua arahpun, melainkan dia adalah mengingatiMu" [4]

 

Tangisan dan air mata itu melambangkan perasaan luhur. Biasanya ia terjadi kerana kasih sayang, rindu dendam atau belas kasihan. Maka begitulah pula ia berlaku kepada langit dan bumi apabila ia berlaku kepada langit dan bumi apabila seorang hamba mukmin meninggal dunia. Tetapi sebaliknya ia tidak berlaku sekiranya yang mati itu ialah orang kafir.

Rujukan [1], [2], [3], [4] :

Al-Hafiz Jalaludin as-Suyuti , Syarh ash-Shudur Bi Syarbi Hali al-Mauta Wa al-Qubur, m.s 98

No comments:

Post a Comment