Sunday, January 1, 2012

Mukjizat Al-Qur'an

Ketika aku membaca ayat 82 surah An-Nisa' terasa ayat ini begitu menikam kalbu ku,

memantapkan lagi penyerahan diriku ini kepada Yang Maha Esa untuk mencari keredaan Nya...bukti benar nya mukjizat Al-Quran yang diturunkan oleh ALlah Yang Maha Berkuasa untuk menjadi panduan hamba-hambaNya...membuak-buak hati ingin mencari tafsir disebalik ayat yang agung ini...
dan ayat ini ku jadikan sebagai pemula tafsir Quran dalam blog ini..
semoga usaha yang kerdil ini mendapat keredaan disisiNya dan dimanfaatkan sebaik mungkin.




Tidakkah mereka memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu bukan dari sisi ALlah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak didalamnya (Q.S 4:82)





Kita lihat tafsir ayat diatas mengikut Tafsir Al-Azhar oleh Prof. Dr Hamka :


Al Quran turun dari ALlah. Dia bukan kata-kata ucapan manusia. Bukan kata-kata susunan Muhammad, walaupun keluar melalui mulutnya. Mereka sendiri sebagai umat yang mula-mula menerima dakwah dari Al-Quran, kalau suka merenungkan dan jujur, akan mengakui tidak ada yang lain yang akan sanggup menyusun kata sebagai demikian. Kalau dia dari yang lain, tentu akan timbul perselisihan yang banyak didalamnya, baik didalam pemakaian bahasa atau dalam pengutaraan fikiran.


Dua susun kata sebagai keahlian orang Arab sejak purbakala, sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutus Tuhan. Pertama kata-kata Hikmat, kedua kata-kata Syair. Kata hikmat pujangga masih dapat ditandingi oleh pujangga lain, kata ahli syair yang ternama dapat ditunjukkan kelemahannya oleh para pengkritik, meskipun diakui bagus susunannya, tetapi kurang pada makna. Atau bagus maknanya tetapi kaku irama syairnya. Akan datang orang lain berkata, kalau kalimah ini ditukar dengan itu, atau ini didahuluikan dan itu dikemudiankan, kalau dikurangi sedikit, kalau ditambah sedikit.


Sayang sekali disini kekurangannya! Ini syair bagus, tetapi...., sehingga kata hikmat atau syair itu jika telah diulang membacanya berkali-kali, timbul kebosanan. Sekarang cubalah renungkan Al-Quran. Kamu akan mendapati didalamnya kata bukan sebarang kata, kalimah bukan sebarang kalimah. Bertambah kamu kaji Al-Quran, bertambah berasa I'jaz, lemah dirimu menghadapinya. Satu ayat tidak berlawan dengan yang lain, satu firman tidak selisih dengan yang lain, bahkan yang satu menggenapkan yang lain, ayat yang ditafsirkan oleh ayat itu.


Ajakan Tuhan menyuruh merenungkan Al-Quran ini, telah dilakukan oleh bangsa Arab setelah mereka menerima Islam. Seorang ahli syair besar dan disayangi oleh Rasulullah s.a.w iaitu Hassan bit Tsabit. Syair-syairnya telah dipakai oleh Rasulullah s.a.w untuk alat dakwah. Kalau ada utusan-utusan dari seluruh Arab menghadap Rasulullah s.a.w di Madinah untuk bertanyakan tentang Islam dan mereka membawa ahli syair dari kabilah mereka, sebagai pelengkap-pelengkap perutusan dizaman itu, Rasulullah s.a.w menyambut mereka dengan ahli syair juga, iaitu Hassan bin Tsabit. Sehingga Rasulullah s.a.w mendoakan kepada Tuhan, moga-moga Hassan bin Tsabit disokong dengan Ruhul Kudus. Tepai setelah zaman penyambutan itu berlalu, lama kelamaan syair Hassan bin Tsabit kian tenggelam. Ilham syairnya tidak bangkit lagi. Orang bertanya kepada Hassan bin Tsabit apa sebab terjadi demikian. Terus terang dia mengakui bahawa jiwanya telah terpesona oleh Al-Quran.


Sudah empat belas abad sampai sekarang, Al-Quran masih tetap utuh. Pujangga-pujangga Arab, termasuk juga yang bukan beragama Islam, sebab mereka mendapat perlindungan (dzimmah) yang luas sekali dari Islam, mengakui bahawa tidak boleh seseorang menjadi pujangga Arab kalau dia tidak mengenal Al-Quran.
Ungkapannya sentiasa memberi kesan, tidak basi kerana perubahan zaman. Dizaman dahulu seorang pujangga bernama Abdul Qahir Al-Jurjani telah mengarang sebuah buku bernama I'jazul Quran , diuraikan satu demi satu ayat itu, bagaimana lemah longlainya manusia untuk menjaminnya usahkan mengatasinya. Dizaman kita ini pun seorang pujangga yang lain, misalnya Mustafa Sadiq ar-Rafi' mengarang satu buku dengan nama yang sama, untuk menjelaskan lagi bertapa lemahnya kita manusia buat menyamainya usahkan mengatasinya. Nyata dia dari Tuhan, tidak dari yang lain, tidak ilham syaitan tau jin kepada seorang penyair. Apatah lagi tidaklah dia itu dari kata-kata Muhammad s.a.w itu sendiri. Kalau dia dari manusia, usahkan sampai 14 abad, 14 tahun pun sudah habis kuasanya. Dan hairannya demikian sukar bahasa Arab itu, namun bangsa yang bukan Arab jika menjadi Islam dan mempelajarinya, pun akan kena oleh strom singagarnya. Sehingga dihitung-hitung orang, banyak sekali ahli-ahli Al-Quran itu yang bukan Arab, tetapi menjadi guru kepada orang Arab.


Sebab itu maka ulama-ulama Islam dizaman moden, contohnya Sayid Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhamad Abduh, Sayid Rasyid Ridha dan Syaikh Hassan Al-Banna dan beberapa pemuka Islam yang lain berkeyakinan bahawa untuk membangkitkan semangat Islam yang hidup didalam jiwa kita, sesudah sekian ratus tahun melempen, jalan satu-satunya ialah kembali meneguk tirta-rasa dari Al-Quran.


Dan untuk mengenal Al-Quran itu sekali lagi diingatkan, taatilah Rasul.
Dan dari ayat ini juga, menurut Al-Razi, dapat difahami bahawa kita wajib memandangnya dengan tekun dan sanggup mengambil dalil. Disini juga kita dapat tahu bahawa taqlid (menurut saja kepada orang lain) dengan tidak mengetahui dalilnya adalah satu kesalahan.


Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar "Barangsiaa yang dengan teliti merenungi Al-Quran dengan makna yang terkandung didalamnya serta memelihara tafsirnya yang didapati dari sunnah Rasulullah s.a.w dan dari sahabat-sahabatnya yang telah turut hadir ketika ayat-ayat tersebut diturunkan dan dapat menghasilkan hukum dari memperhatikan manthuqnya (yang tersurat), demikian juga makna yang terkandung dalam sunnah, menyaring mana yang dapat dijadikan hujjah. Orang itulah yang terpuji dan dapat mengambil manfaat dari Al-Quran. Itulah usaha dari ahli-ahli Fiqh di kota-kota besar, baik Tabi'in-tabi'in atau ulama-ulama yang sesudah mereka"
Lantaran itu bukanlah Al-Quran buat semata-mata dilagukan, melainkan buat difahamkan dan direnungkan, sehingga dapat diambil intisarinya.

No comments:

Post a Comment