Saturday, January 28, 2012

Mohon Pertolongan ALlah Untuk Sabar Dan Solat


2:153

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong mu, sesungguhnya ALlah beserta orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah: 153)

Huraian ayat suci diatas berdasarkan buku - 25 Seruan Ayat Al-Quran Buat Orang Yang Beriman - karya Abi Farhan (Abdul Hadi Muhamad), terbitan Mustread Sdn Bhd.


Kalimat 'sabar' sama ada disebut sebagai satu sifat manusia atau golongan, ataupun selaku penjelasan sifat ini, is disebut didalam Al-Quran lebih dari 100 tempat. Bahawa ALlah s.w.t menyebut hal mengenai sabar di dalam kitabNya sungguh banyak, maknanya tidak ada satu sifat yang lebih afdal daripada 'sabar'.

Sabar dari segi bahasa yang mudah ialah menahan diri. Kebanyakan sifat sabar yang ditakrifkan oleh Al-Quran ialah menahan diri daripada mengerjakan perkara dosa atau perkara yang dibenci demi menuntut keredaan ALlah.

ALlah Maha Kaya dan Berkuasa telah mengurniakan nafsu kepada manusia. Sifat semulajadi nafsu ialah mahukan sesuatu atau berkeinginan mencapai kemahuan diri. ALlah s.w.t juga telah mengurniakan pelbagai sifat kepada manusia bagi mengendalikan diri termasuk sifat sabar.  Al-Imam al-Ghazali r.a merumuskan sifat sabar terbahagi kepada dua iaitu :

Sifat jasmani

Tabah hati menanggung kesusahan badan terhadap kerja-kerja berat dalam mencari rezeki, kesukaran menunaikan ibadat, penderitaan sakit akibat luka atau tenat dan sebagainya. Tabah hati begini adalah terpuji apabila disertai sifat reda, berikhtiar berubat atau mengelaknya dengan cara yang diizinkan syarak.


Sabar rohani

Menahan diri daripada menurut keinginan tabii dan runtunan hawa nafsu. Orang-orang yang beriman hendaklah bersabar, menahan diri daripada kehendak perut dan jantina yang melebihi batas, menahan diri daripada mengeluh, sombong, rasa takut, gopoh, marah, tamak dan sebagainya.


Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menghubungkan sifat sabar itu dengan akhlak orang-orang yang bertakwa. Para rasul, nabi-nabi dan siddiqin adalah merupakan contoh-contoh terbaik sebagai hamba-hamba ALlah yang mempunyai sifat sabar yang tinggi. Mereka sentiasa diancam pelbagai kesusahan hatta maut sekalipun atau dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia namun mereka tetap bersabar mempertahankan iman disamping mengharapkan keredaan ALlah s.w.t semata-mata.


Jadi ALlah s.w.t telah memberi pengharapan besar untuk mereka. Kepada mereka dijanjikan kesajahteraan serta nikmat kejayaan di akhirat nanti. Mereka akan memasuki syurga ALlah serta mendapat penghormatan daripada para malaikat. Janji-janji nikmat itu disebut oleh ALLah sendiri, antaranya firman ALLah s.w.t :


Bermaksud: "Mereka itu semua akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat didalamnya [Surah al-Furqan: 75]


Bermaksud: "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu sebagai balasan amal kamu didunia dahulu" [Surah al-Ra'd: 24]

Islam sangat mementingkan sifat sabar kerana ia mempunyai nilai yang sangat tinggi baik dari segi agama dan akhlak. Ia bukanlah satu sifat sampingan, malah ia adalah sifat yang mesti bertunjang pada diri setiap orang yang beriman. Setiap individu muslim mesti memilikinya demi mencapai kesejahteraan diri dan masyarakat.


Sifat sabar sangat mustahak untuk mencapai kejayaan di dunia, begitu juga bagi memperoleh ganjaran akhirat. Tiada kemenangan didunia ini dan tidak ada kejayan di akhirat nanti melainkan dengan kesabaran. Segala cita-cita dan
hasrat tidak akan terlaksana secara sempurna. Hanya sesiapa yang sanggup menahan kesabaran akan memperoleh kejayaan sebaliknya jika tidak sanngup pasti akan menemui kegagalan.


Memandangkan betapa indahnya sifat sabar itu, ianya perlulah dimiliki oleh seluruh orang-orang yang beriman. Maka kita hendaklah memohon kepada ALlah s.w.t  agar kita dikurniakan sifat sabar. ALlah s.w.t sering menyebut bahawa Dia akan bersama dengan oarng-orang yang sabar.

Orang-orang yang beriman juga dikehendaki memohon sesuatu pertolongan dan perlindungan ALlah bagi mengelak dari sesuatu yang tidak baik ( bala bencana, penyakitan dan sebagainya) melalui solat mereka. Mereka juga digesa agar dengan solat, mereka mendekati ALlah bagi mendapatkan rahmat dan bantuan-Nya semasa menghadapi susah payah dalam menyempurnakan perintsh ALlah itu. Solat adalah tiang ugama. Roh sembahyang itu adalah khusyuk hati orang mengerjakannya kepada Tuhannya. Inilah sebesar-besar pertolongan dan semangat yang teguh untuk menghadapi sebarang perkara yang menyulitkan.

Mengikut undang-undang dan peraturan ALlah s.w.t segala pekerjaan yang besar seperti penyebaran ugama Islam, mempertahankan kedaulatan Islam dan sebagainya tida akan berjaya melainkan dengan kesungguhan dan kesabaran dalam menjalankan usaha pekerjaan tersebut. Disamping tabah menghadapi rintangan dan dugaan itu, orang-orang yang beriman sangat perlu menunaikan kewajipan solat, bermunajat serta berdoa supaya diberi kekuatan dan kejayaan.



Maka sesiapa yang tetap teguh, sabar dan beristiqamah dengan solatnya, nescaya dia termasuk didalam golongan hamba ALlah yang dikasihi-Nya. Dia akan mendapati setiap hajatnya dimakbulkan oleh ALlah, dirinya sentiasa sejahtera dilindungi dan jadilah dia hamba ALlah yang bertaqwa yang akan memperoleh kebaikan didunia ini dan kebaikan diakhirat kelak.



 


























































Saturday, January 7, 2012

Wasiat Luqman Untuk Anak-Anak

Firman ALlah s.w.t :

 

 Terjemahan :

(Luqman menasihati anaknya dengan berkata): "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sesuatu perkara (yang baik atau yang buruk) sekalipun seberat bijih sawi, serta ia tersembunyi di dalam batu besar atau di langit atau pun di bumi, sudah tetap akan dibawa oleh Allah (untuk dihakimi dan dibalasNya); kerana sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya; lagi Amat Meliputi akan segala yang tersembunyi. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. "Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. "Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai".

Sebab Nuzul

Berkaitan sebab nuzul dan kisah wasiat Luqman terhadap anaknya sebagaimana ayat tersebut ialah : Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Muqatil: Ayat tersebut merupakan kisah wasiat Luqman terhadap anak lelakinya yang bernama Tharan. Dimana Tharan bin Luqman berkata kepada bapanya : "Wahai bapaku! Sesungguhnya aku telah melakukan kesalahan da dosa yang mana ia tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun dari kalangan manusia, bagaimana  ALLah dapat menemuinya atau mengetahuinya?"  Lantaran itu Luqman berkata kepada anaknya itu : "Wahai anakku....."  sebagaimana ayat tersebut. Luqman berterusan dan sentiasa menasihati anaknya itu, tetapi anaknya itu masih tidak yakin hinggalah ia mati.


Huraian ringkas 

(mengikut buku Teks Pengajian Islam - Huraian Ayat-Ayat Hukum 2 - oleh Ustaz Abdul Latif bin Muda B.A, M.A (Usuluddin) , terbitan Pustaka Salam)


Semua wasiat dalam ayat tersebut merupakan wasiat berguna yang dikhabarkan oleh ALlah supaya manusia mengambil contoh tauladan dan ikutan serta berpegang dengannya. Antaranya ialah : Tegahan dan haram hukumnya berlagak sombong, bermegah dengan diri sendiri, selfish, mendabik dada, memuji diri sendiri, menghina dan memperkecilkan orang lain, samada ketika mereka bercakap atau  brhadapan bercakap juga bercakap dengan suara tinggi atau menjerit dan melaung tak tentu pasal. 





Hukum

Hukum yang dapat diinstinbatkan daripada ayat tersebut ialah :


1. Haram seseorang itu berjalan diatas muka bumi ini dengan lagak angkuh   
   dan takabur.

2. Diharamkan bersikap takabur dan memperkecil-kecilkan pendapat orang lain
   dalam apa juga keadaan pun. 

3. Dituntut supaya sentiasa berlagak sederhana ketika berjalan dan 
    berkominikasi dengan manusia lain.  Iaitu dengan tidak terlalu cepat dan 
    tidak terlalu perlahan, bahkan sederhana atau pertengahan antara 
    keduanya.

4. Wajib sentiasa menjaga, megawasi perintah ALlah serta  tidak memandang 
    remeh terhadap perkara yang baik dan meninggalkan perkara buruk 
    walaupun kecil.

5. Wajib mendirikan sembahyang, menyuruh kerah kebaikan, mencegah 
    keburukan, bersabar diatas perkara yang berkaitan dengan suruhan , 
   tegahan dan halangan.

6. Haram bermegah-megah dan lupa diri, samada ketika berjalan atau 
   bercakap.

Pengajaran Ayat

Pengajaran yang dapat diambil daripada ayat tersebut ialah :

1. Hendaklah mengeluarkan suara menurut keperluan dan tidak sampai 
    meninggikan suara tidak perlu, kerana ia akan menyakitkan hati orang lain 
    dan menganggu ketenteraman.

2. Suara yang melampau dan menjerit tak tentu pasal menyerupai teriakan 
   keldai.

3. Ayat tersebut membuktikan kekuasaan ALlah serta dituntut takutkan ALlah 
   dengan mengharapkan rahmatNya.

4. Walaupun kebaikan dan maksiat itu hanya sebesar biji sawi, akan dinilai 
   dan  diketahui oleh ALlah.

5. Mencegah perkara keji dan mungkar, ialah menegah diri dan orang lain 
   daripada segala bentuk perbuatan maksiat.
































Mati Adalah Perkara Besar

Kematian adalah perkara yang menggemparkan, perkara besar dan dahsyat, bukannya perkara kecil dan remeh. Ia menyebabkan langit dan bumi turut menangis, bukan sahaja manusia yang menangis seperti yang kita nampak, bukan!

Firman ALlah s.w.t :


"Maka tidaklah langit dan bumi menangisi mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi"  (Surah Ad-Dukhan: 29)

Tafsirnya mengikut buku - Jambatan ke Akhirat , yang ditulis oleh Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (Mufti Brunei Darussalam).



 Ayat ini menjelaskan, bahawa kematian Firaun dan pengikut-pengikutnya atau sesiapa juga daripada kaum musyrik yang tidak beriman, langit dan bumi tidaklah menangisi mereka. Tetapi bagaimana dengan orang Mukmin?

Telah mengeluarkan Ibnu Jarir daripada Ibnu Abbas Radhiallahu 'anhuma, bahawa beliau telah ditanya tentang firman ALlah Ta'ala : 
Adakah langit dan bumi menangisi seseorang? Jawab Ibnu Abbas :
"Ya! Tiada seorang dari hamba ALlah, melainkan baginya ada pintu dilangit, yang turun rezekinya daripadanya dan naik amalannya kepadanya. Apabila meninggal dunia seseorang yang beriman, maka ditutuplah pintu tempat naik amalannya dan tempat turun rezekinya. Lalu menangislah ia (langit) keatasnya. (Begitu juga) bilamana (merasa) kehilangan tempat sembahyangnya dibumi, yang dia pernah mendirikan sembahyang padanya dan berzikir mengingati ALlah padanya, maka menangislah tempat itu. Adapun kaum Firaun, tidak terdapat sebarang  "kesan baik" dibumi, oleh itu tidaklah  tidaklah naik kehadrat ALlah daripada mereka satu kebajikanpun, lalu langit dan bumi tidaklah menangisi mereka" [1]



Mengeluarkan pula at-Tirmidzi, Abu Nu'aim, Abu Ya'la, Ibnu Abi ad-Dunya dan Ibnu  Abi ad-Dunya dan Ibnu Abi Hatim, daripada Anas bahawa Nabi s.w.t bersabda ;
maksudnya " Tiada seorang dari manusia, melainkan baginya terdapat dua buah pintu dilangit : sebuah tempat amalannya naik dan sebuah lagi tempat rezekinya turun. Apabila telah meninggal dunia seorang hamba yang beriman, maka menangislah kedua-dua pintu itu"  [2]

Mengeluarkan Sa'id bin Mansur dan Abu Nu'aim daripada Mujahid, katanya, yang bermaksud : "Tidak meninggal dunia seorang yang beriman, melainkan menangislah bumi keatasnya empat puluh pagi" [3]

Mengeluarkan Ibnu Abi ad-Dunya, daripada Abu "Ubaid, katanya yang bermaksud : "Sesungguhnya apabila mati seorang hamba yang beriman, berteriaklah bumi!" Maka menangislah bumi dan langit keatasnya. Lalu berfirman Tuhan Yang Maha Pemurah kepada bumi dan langit: "Apakah yang menyebabkan kamu menangis?"  Menjawab keduanya: "Tuhan kami! Tidaklah berjalan (hamba ini) pada mana-mana jua arahpun, melainkan dia adalah mengingatiMu" [4]

 

Tangisan dan air mata itu melambangkan perasaan luhur. Biasanya ia terjadi kerana kasih sayang, rindu dendam atau belas kasihan. Maka begitulah pula ia berlaku kepada langit dan bumi apabila ia berlaku kepada langit dan bumi apabila seorang hamba mukmin meninggal dunia. Tetapi sebaliknya ia tidak berlaku sekiranya yang mati itu ialah orang kafir.

Rujukan [1], [2], [3], [4] :

Al-Hafiz Jalaludin as-Suyuti , Syarh ash-Shudur Bi Syarbi Hali al-Mauta Wa al-Qubur, m.s 98

Monday, January 2, 2012

Perhiasan Dunia

Membaca ayat suci dibawah mengingatkan aku tentang cabaran hawa nafsu yang wajar kita tundukan dan bukan memimpin kita dalam mencari keredhaan Yang Maha Berkuasa...






Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu,  iaitu perempuan-perempuan, anak-pinak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak, kuda peliharaan yang terpilih lagi terlatih, binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup didunia dan (ingatlah), pada sisi ALlah tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).
[Q.S 3 : 14]




Lihat tafsir ayat suci diatas berdasarkan Tafsir Al-Munir oleh Dr Wahbah Al-Zuhaily  -


Manusia dijadikan dengan sifat menyukai syahwat dan ia menjadi hiasan indah dimata dan dihati mereka. Kesukaan terhadapnya adalah fitrah dalam diri mereka. Sesiapa yang menyukai sesuatu tanpa sebarang perhiasan padanya, dicurigai ia akan ditinggalkan pada suatu hari.  Sesiapa yang menyukai sesuatu dengan perhiasannya, tidak mungkin ia berpaling daripadanya. Al-Quran mengungkapkan tentang sesuatu keinginan sebagai syahwat (keinginan hawa nafsu). Ia adalah kenyataan keterlaluan (mubalaghah) menunjukan kepada sesuatu yang sangat dicintai dan disukai. Ia juga menunjukkan bahawa syahwat adalah dicela, justeru manusia perlu menyukainya secara sederhana.  Manusia  hendaklah mengawal naluri dan tidak dipengaruhi oleh hawa nafsu secara membabi buta dengan sifat cintakan dunia.  Manusia tidak sepatutnya tersirna dengan kekuasaan yang sementara dan harta yang akan binasa sehingga menolak kebenaran dan tidak beriman dengan agama yang benar. Sdangkan mereka sudah mengenalinya sebagaimana mengenali anak mereka sendiri. Ini sebagaimana perlakuan utusan Nasrani daripada Najran dan selain mereka dari kalangan pemimpin kuffar.


Siapakah yang membuatkan syahwat menjadi sebagai perhiasan? Ada pendapat yang mengatakan; yang menghiasnya ialah ALlah s.w.t untuk menguji dan menduga manusia. Ini bererti ALlah s.w.t membentuk fitrah manusia menyukai syahwat.  Firman ALlah s.w.t (bermaksud) :


"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada dimuka bumi sebagai perhiasan  baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah diantaranya yang lebih baik amalnya"   (Surah Al-Kahfi 18:7)


ALlah s.w.t juga berfirman (bermaksud) :


"Demikianlah Kami memperelokkan (menghias) pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka" (Surah Al-An'am 6:108)


Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa syaitanlah yang menghias syahwat dengan bisikan dan memperindahkan kecenderungan kepada syahwat bagi menyesatkan manusia, sebagaimana firman ALlah s.w.t (bermaksud)  :


"Dan (ingatlah) ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan)" ( Al-Anfal 8:48)


Bagaimanapun, Islam mencakupi perkara agama dan duniawi. Ayat berkenaan bukan bermaksud menegah kesukaan yang sederhana terhadap syahwat. Bagaimanapun, yang  ditegah adalah kesukaan yang keterlaluan dan berlebihan terhadap syahwat serta cenderung dengan perlakuan terbabit sehingga melanggar benteng akidah dan agama, disamping bersikap alpa terhadap akhirat.  Ini sebagaimana firman Allah s.w.t (bermaksud) :


"Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan ALlah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" (Al-A'raf 7:32)


Selanjutnya ALlah s.w.t menyebut enam  jenis syahwat dan kelazatan iaitu :


1. Perempuan
2. Anak-pinak
3. Harta benda yang banyak bertimbun-timbun dari emas dan perak
4. Kuda peliharaan yang terpilih lagi terlatih
5. Binatang-binatang ternak
6. Kebun-kebun tanam-tanaman




Pedoman Hidup dan Hukum-Hakam


Terdapat golongan yang dipalingkan oleh hawa nafsu dan syawat daripada mengikut ajaran Islam seperti Yahudi dan lain-lain yang sezaman dengan Muhammad s.a.w. Lantaran itu, ayat diatas mencela mereka. Sekiranya seseorang insan ingin selamat daripada perhitungan ALlah s.w.t pada hari kiamat, ia haruslah mengelakkan diri daripada cengkaman hawa nafsu dan syahwat yang dilarang. Ini kerana membiarkan diri dipengaruhi syahwat menyebabkan seseorang terjerumus kedalam neraka dan kebinasaan.
Diriwayatkan didalam Sahih Muslim daripada Anas :


(maksudnya) : "Syurga dibentang dengan  perkara tidak disukai, (manakala) neraka dibentang dengan syahwat"


Syurga tidak dapat dicapai melainkan dengan menghadapi perkara-perkara yang tidak disukai manusia dan bersabar menanggungnya. manusia tidak terselamat daripada neraka, melainkan dengan meninggalkan syahwat terlarang dan dapat menahan kemahuan nafsu.


Syahwat yang disebut didalam ayat berkenaan ialah yang melampaui batasan atau berlebihan atau yang menyebabkan berlaku pengabaian kewajipan agama. Jika ianya dalam lingkungan  kesederhanaan yang wajar dan munasabah, ia tidak mengundang kecelakaan. Malahan jika tujuannya untuk kebaikan, ia menjadi sebab mendapat pahala dan menambah ganjaran, pemeliharaan diri, dan memperolehi keredhaan ALlah s.w.t.


Menurut para ulama, ALlah s.w.t menyebut empat jenis harta (aset).  Setiap satu jenis digunakan oleh golongan tertentu : emas dan perak menjadi aset ahli perniagaan. Kuda periharaan yang terpilih lagi  terlatih menjadi aset raja-raja.  Binatang ternakan menjadi aset orang-orang yang tinggal digurun atau perlembahan. Manakala kebun tanaman  pula aset bagi penduduk kampung.




Firman ALlah s.w.t (bermaksud):


"Semuanya itu ialah kesenangan hidup didunia" (Ali 'Imran 3:14) ; yakni kemewahan hidup didunia, kemudian ia musnah. Ayat ini menunjukkan bahawa manusia dituntut supaya berzuhud dan memandang remeh terhadap dunia ; di samping mengambil berat terhadap akhirat.  Ibn Majah dan selainnya meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda (maksud):


"Hanya sanya dunia adalah benda kesenangan, tiada suatu benda kesenangan dunia yang lebih baik daripada wanita solehah"




Thabit didalam hadis sahih (maksudnya):


"Berzuhudlah didunia, nescaya ALlah akan menyintai kamu"


Maksud hadis diatas ialah berpantanglah dari kesenangan dunia seperti kemegahan dan harta yang melebih kadar keperluan. Imam al-Tirmizi mengemukakan riwayat daripada al-Miqdam bin Ma'dikariba bahawa Rasulullah s.s.w bersabda (maksudnya):


"Anak Adam tidak memiliki hak melainkan pada perkara-perkara berikut: Rumah yang didiami, pakaian yang menutup auratnya, potongan roti dan air".


Firman ALlah s.w.t (bermaksud) : "Pada sisi ALlah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)." (Ali "Imran 3 :14) ; menunjukkan bahawa habuan dunia perlu dikurangkan dan dipandang remeh, di samping memberi penumpuan kepada tempat kembali disisi ALlah s.w.t iaitu akhirat.




























Sunday, January 1, 2012

Mukjizat Al-Qur'an

Ketika aku membaca ayat 82 surah An-Nisa' terasa ayat ini begitu menikam kalbu ku,

memantapkan lagi penyerahan diriku ini kepada Yang Maha Esa untuk mencari keredaan Nya...bukti benar nya mukjizat Al-Quran yang diturunkan oleh ALlah Yang Maha Berkuasa untuk menjadi panduan hamba-hambaNya...membuak-buak hati ingin mencari tafsir disebalik ayat yang agung ini...
dan ayat ini ku jadikan sebagai pemula tafsir Quran dalam blog ini..
semoga usaha yang kerdil ini mendapat keredaan disisiNya dan dimanfaatkan sebaik mungkin.




Tidakkah mereka memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu bukan dari sisi ALlah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak didalamnya (Q.S 4:82)





Kita lihat tafsir ayat diatas mengikut Tafsir Al-Azhar oleh Prof. Dr Hamka :


Al Quran turun dari ALlah. Dia bukan kata-kata ucapan manusia. Bukan kata-kata susunan Muhammad, walaupun keluar melalui mulutnya. Mereka sendiri sebagai umat yang mula-mula menerima dakwah dari Al-Quran, kalau suka merenungkan dan jujur, akan mengakui tidak ada yang lain yang akan sanggup menyusun kata sebagai demikian. Kalau dia dari yang lain, tentu akan timbul perselisihan yang banyak didalamnya, baik didalam pemakaian bahasa atau dalam pengutaraan fikiran.


Dua susun kata sebagai keahlian orang Arab sejak purbakala, sebelum Nabi Muhammad s.a.w diutus Tuhan. Pertama kata-kata Hikmat, kedua kata-kata Syair. Kata hikmat pujangga masih dapat ditandingi oleh pujangga lain, kata ahli syair yang ternama dapat ditunjukkan kelemahannya oleh para pengkritik, meskipun diakui bagus susunannya, tetapi kurang pada makna. Atau bagus maknanya tetapi kaku irama syairnya. Akan datang orang lain berkata, kalau kalimah ini ditukar dengan itu, atau ini didahuluikan dan itu dikemudiankan, kalau dikurangi sedikit, kalau ditambah sedikit.


Sayang sekali disini kekurangannya! Ini syair bagus, tetapi...., sehingga kata hikmat atau syair itu jika telah diulang membacanya berkali-kali, timbul kebosanan. Sekarang cubalah renungkan Al-Quran. Kamu akan mendapati didalamnya kata bukan sebarang kata, kalimah bukan sebarang kalimah. Bertambah kamu kaji Al-Quran, bertambah berasa I'jaz, lemah dirimu menghadapinya. Satu ayat tidak berlawan dengan yang lain, satu firman tidak selisih dengan yang lain, bahkan yang satu menggenapkan yang lain, ayat yang ditafsirkan oleh ayat itu.


Ajakan Tuhan menyuruh merenungkan Al-Quran ini, telah dilakukan oleh bangsa Arab setelah mereka menerima Islam. Seorang ahli syair besar dan disayangi oleh Rasulullah s.a.w iaitu Hassan bit Tsabit. Syair-syairnya telah dipakai oleh Rasulullah s.a.w untuk alat dakwah. Kalau ada utusan-utusan dari seluruh Arab menghadap Rasulullah s.a.w di Madinah untuk bertanyakan tentang Islam dan mereka membawa ahli syair dari kabilah mereka, sebagai pelengkap-pelengkap perutusan dizaman itu, Rasulullah s.a.w menyambut mereka dengan ahli syair juga, iaitu Hassan bin Tsabit. Sehingga Rasulullah s.a.w mendoakan kepada Tuhan, moga-moga Hassan bin Tsabit disokong dengan Ruhul Kudus. Tepai setelah zaman penyambutan itu berlalu, lama kelamaan syair Hassan bin Tsabit kian tenggelam. Ilham syairnya tidak bangkit lagi. Orang bertanya kepada Hassan bin Tsabit apa sebab terjadi demikian. Terus terang dia mengakui bahawa jiwanya telah terpesona oleh Al-Quran.


Sudah empat belas abad sampai sekarang, Al-Quran masih tetap utuh. Pujangga-pujangga Arab, termasuk juga yang bukan beragama Islam, sebab mereka mendapat perlindungan (dzimmah) yang luas sekali dari Islam, mengakui bahawa tidak boleh seseorang menjadi pujangga Arab kalau dia tidak mengenal Al-Quran.
Ungkapannya sentiasa memberi kesan, tidak basi kerana perubahan zaman. Dizaman dahulu seorang pujangga bernama Abdul Qahir Al-Jurjani telah mengarang sebuah buku bernama I'jazul Quran , diuraikan satu demi satu ayat itu, bagaimana lemah longlainya manusia untuk menjaminnya usahkan mengatasinya. Dizaman kita ini pun seorang pujangga yang lain, misalnya Mustafa Sadiq ar-Rafi' mengarang satu buku dengan nama yang sama, untuk menjelaskan lagi bertapa lemahnya kita manusia buat menyamainya usahkan mengatasinya. Nyata dia dari Tuhan, tidak dari yang lain, tidak ilham syaitan tau jin kepada seorang penyair. Apatah lagi tidaklah dia itu dari kata-kata Muhammad s.a.w itu sendiri. Kalau dia dari manusia, usahkan sampai 14 abad, 14 tahun pun sudah habis kuasanya. Dan hairannya demikian sukar bahasa Arab itu, namun bangsa yang bukan Arab jika menjadi Islam dan mempelajarinya, pun akan kena oleh strom singagarnya. Sehingga dihitung-hitung orang, banyak sekali ahli-ahli Al-Quran itu yang bukan Arab, tetapi menjadi guru kepada orang Arab.


Sebab itu maka ulama-ulama Islam dizaman moden, contohnya Sayid Jamaluddin Al-Afghani, Sheikh Muhamad Abduh, Sayid Rasyid Ridha dan Syaikh Hassan Al-Banna dan beberapa pemuka Islam yang lain berkeyakinan bahawa untuk membangkitkan semangat Islam yang hidup didalam jiwa kita, sesudah sekian ratus tahun melempen, jalan satu-satunya ialah kembali meneguk tirta-rasa dari Al-Quran.


Dan untuk mengenal Al-Quran itu sekali lagi diingatkan, taatilah Rasul.
Dan dari ayat ini juga, menurut Al-Razi, dapat difahami bahawa kita wajib memandangnya dengan tekun dan sanggup mengambil dalil. Disini juga kita dapat tahu bahawa taqlid (menurut saja kepada orang lain) dengan tidak mengetahui dalilnya adalah satu kesalahan.


Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar "Barangsiaa yang dengan teliti merenungi Al-Quran dengan makna yang terkandung didalamnya serta memelihara tafsirnya yang didapati dari sunnah Rasulullah s.a.w dan dari sahabat-sahabatnya yang telah turut hadir ketika ayat-ayat tersebut diturunkan dan dapat menghasilkan hukum dari memperhatikan manthuqnya (yang tersurat), demikian juga makna yang terkandung dalam sunnah, menyaring mana yang dapat dijadikan hujjah. Orang itulah yang terpuji dan dapat mengambil manfaat dari Al-Quran. Itulah usaha dari ahli-ahli Fiqh di kota-kota besar, baik Tabi'in-tabi'in atau ulama-ulama yang sesudah mereka"
Lantaran itu bukanlah Al-Quran buat semata-mata dilagukan, melainkan buat difahamkan dan direnungkan, sehingga dapat diambil intisarinya.