Saturday, January 28, 2012

Mohon Pertolongan ALlah Untuk Sabar Dan Solat


2:153

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong mu, sesungguhnya ALlah beserta orang-orang yang sabar"
(Surah al-Baqarah: 153)

Huraian ayat suci diatas berdasarkan buku - 25 Seruan Ayat Al-Quran Buat Orang Yang Beriman - karya Abi Farhan (Abdul Hadi Muhamad), terbitan Mustread Sdn Bhd.


Kalimat 'sabar' sama ada disebut sebagai satu sifat manusia atau golongan, ataupun selaku penjelasan sifat ini, is disebut didalam Al-Quran lebih dari 100 tempat. Bahawa ALlah s.w.t menyebut hal mengenai sabar di dalam kitabNya sungguh banyak, maknanya tidak ada satu sifat yang lebih afdal daripada 'sabar'.

Sabar dari segi bahasa yang mudah ialah menahan diri. Kebanyakan sifat sabar yang ditakrifkan oleh Al-Quran ialah menahan diri daripada mengerjakan perkara dosa atau perkara yang dibenci demi menuntut keredaan ALlah.

ALlah Maha Kaya dan Berkuasa telah mengurniakan nafsu kepada manusia. Sifat semulajadi nafsu ialah mahukan sesuatu atau berkeinginan mencapai kemahuan diri. ALlah s.w.t juga telah mengurniakan pelbagai sifat kepada manusia bagi mengendalikan diri termasuk sifat sabar.  Al-Imam al-Ghazali r.a merumuskan sifat sabar terbahagi kepada dua iaitu :

Sifat jasmani

Tabah hati menanggung kesusahan badan terhadap kerja-kerja berat dalam mencari rezeki, kesukaran menunaikan ibadat, penderitaan sakit akibat luka atau tenat dan sebagainya. Tabah hati begini adalah terpuji apabila disertai sifat reda, berikhtiar berubat atau mengelaknya dengan cara yang diizinkan syarak.


Sabar rohani

Menahan diri daripada menurut keinginan tabii dan runtunan hawa nafsu. Orang-orang yang beriman hendaklah bersabar, menahan diri daripada kehendak perut dan jantina yang melebihi batas, menahan diri daripada mengeluh, sombong, rasa takut, gopoh, marah, tamak dan sebagainya.


Terdapat banyak ayat Al-Quran yang menghubungkan sifat sabar itu dengan akhlak orang-orang yang bertakwa. Para rasul, nabi-nabi dan siddiqin adalah merupakan contoh-contoh terbaik sebagai hamba-hamba ALlah yang mempunyai sifat sabar yang tinggi. Mereka sentiasa diancam pelbagai kesusahan hatta maut sekalipun atau dijanjikan dengan pelbagai nikmat dunia namun mereka tetap bersabar mempertahankan iman disamping mengharapkan keredaan ALlah s.w.t semata-mata.


Jadi ALlah s.w.t telah memberi pengharapan besar untuk mereka. Kepada mereka dijanjikan kesajahteraan serta nikmat kejayaan di akhirat nanti. Mereka akan memasuki syurga ALlah serta mendapat penghormatan daripada para malaikat. Janji-janji nikmat itu disebut oleh ALLah sendiri, antaranya firman ALLah s.w.t :


Bermaksud: "Mereka itu semua akan dibalas dengan mendapat tempat yang tinggi di syurga disebabkan kesabaran mereka dan mereka pula akan menerima penghormatan dan ucapan selamat didalamnya [Surah al-Furqan: 75]


Bermaksud: "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya tempat kesudahan itu sebagai balasan amal kamu didunia dahulu" [Surah al-Ra'd: 24]

Islam sangat mementingkan sifat sabar kerana ia mempunyai nilai yang sangat tinggi baik dari segi agama dan akhlak. Ia bukanlah satu sifat sampingan, malah ia adalah sifat yang mesti bertunjang pada diri setiap orang yang beriman. Setiap individu muslim mesti memilikinya demi mencapai kesejahteraan diri dan masyarakat.


Sifat sabar sangat mustahak untuk mencapai kejayaan di dunia, begitu juga bagi memperoleh ganjaran akhirat. Tiada kemenangan didunia ini dan tidak ada kejayan di akhirat nanti melainkan dengan kesabaran. Segala cita-cita dan
hasrat tidak akan terlaksana secara sempurna. Hanya sesiapa yang sanggup menahan kesabaran akan memperoleh kejayaan sebaliknya jika tidak sanngup pasti akan menemui kegagalan.


Memandangkan betapa indahnya sifat sabar itu, ianya perlulah dimiliki oleh seluruh orang-orang yang beriman. Maka kita hendaklah memohon kepada ALlah s.w.t  agar kita dikurniakan sifat sabar. ALlah s.w.t sering menyebut bahawa Dia akan bersama dengan oarng-orang yang sabar.

Orang-orang yang beriman juga dikehendaki memohon sesuatu pertolongan dan perlindungan ALlah bagi mengelak dari sesuatu yang tidak baik ( bala bencana, penyakitan dan sebagainya) melalui solat mereka. Mereka juga digesa agar dengan solat, mereka mendekati ALlah bagi mendapatkan rahmat dan bantuan-Nya semasa menghadapi susah payah dalam menyempurnakan perintsh ALlah itu. Solat adalah tiang ugama. Roh sembahyang itu adalah khusyuk hati orang mengerjakannya kepada Tuhannya. Inilah sebesar-besar pertolongan dan semangat yang teguh untuk menghadapi sebarang perkara yang menyulitkan.

Mengikut undang-undang dan peraturan ALlah s.w.t segala pekerjaan yang besar seperti penyebaran ugama Islam, mempertahankan kedaulatan Islam dan sebagainya tida akan berjaya melainkan dengan kesungguhan dan kesabaran dalam menjalankan usaha pekerjaan tersebut. Disamping tabah menghadapi rintangan dan dugaan itu, orang-orang yang beriman sangat perlu menunaikan kewajipan solat, bermunajat serta berdoa supaya diberi kekuatan dan kejayaan.



Maka sesiapa yang tetap teguh, sabar dan beristiqamah dengan solatnya, nescaya dia termasuk didalam golongan hamba ALlah yang dikasihi-Nya. Dia akan mendapati setiap hajatnya dimakbulkan oleh ALlah, dirinya sentiasa sejahtera dilindungi dan jadilah dia hamba ALlah yang bertaqwa yang akan memperoleh kebaikan didunia ini dan kebaikan diakhirat kelak.



 


























































No comments:

Post a Comment